Haji Harun bin Hassan

BIODATA ALLAHYARHAM TUAN HAJI HARUN BIN HAJI HASAN

Allahyarham Tuan Hj. Harun dilahirkan pada 19 April 1940 di Jenjarum, Selangor. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tanjung Karang dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya pada tahun 1979.

Allahyarham Tuan Hj. Harun mendirikan rumahtangga pada 19 April 1963 Bersama pasangannya Hajah Arti binti Saian dan dikurniakan 2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Allahyarham Tuan Hj. Harun pernah berkhidmat di 5 buah sekolah sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai seorang pendidik. Sekolah pertama beliau  ialah Sekolah Melayu Kelanang, Banting. Seterusnya beliau mengajar di Sekolah  Melayu Batu Laut dan Sekolah Menengah Telok Datok. Allahyarham Tuan Hj. Harun pernah menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya dan akhir sekali Pengetua Sekolah Menengah Meru, Klang sebelum bersara.

Allahyarham Tuan Hj. Harun bersara pada 19 April 1995 dan mula menjadi ahli Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Selangor Daerah Petaling pada 16 Jun1995. Berpersatuan merupakan satu cara bagi beliau mengekalkan hubungan, persahabatan, permuafakatan, bekerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain terutama untuk menyatukan kekuatan bagi menyatakan pendirian, mempertahan dan menuntut hak sebagai pesara. Oleh itu, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Selangor ditubuhkan pada tahun 1995 atas saranan Menteri Pelajaran pada masa itu.

Allahyarham Tuan Hj. Harun menjadi Pengerusi 5PM Daerah Cawangan Petaling pada tahun 2012-2014. Seterusnya Allahyarham Hj. Harun menjadi Naib Pengerusi 1 mulai 2014- 2018 dan menjawat jawatan sebagai Bendahari 5PM Daerah Cawangan Petaling dari 2018-2020. Allahyarham Tuan Hj. Harun dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Selangor pada 2006– 2008.

Di peringkat Kebangsaan pula, Allahyarham Tuan Hj. Harun memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung pada 2010–2012. Mulai 2012 sehingga 2022 Allahyarham Tuan Hj. Harun dilantik sebagai Setiausaha Agung Kehormat dan menjadi Bendahari Agung mulai 2022 sehinggalah Allahyarham dijemput Illahi pada 3 Ogos 2024.

Allahyarham Tuan Hj. Harun begitu aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan telah menabur bakti dalam pelbagai program. Allahyarham Tuan Hj. Harun pernah menjadi Setiausaha PERKIM Selangor lebih dari 15 tahun. Sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Selangor pada tahun 2012, Allahyarham Hj. Harun telah dinobatkan Tokoh Aktivis Masyarakat oleh DYMM Sultan Selangor. Di samping itu juga, Allahyarham Haji Harun adalah Imam Surau Seksyen 3 Shah Alam selama 16 tahun mulai 2002 hingga 2018.

Begitu banyak jasa yang telah ditaburkan oleh Allahyarham Tuan Hj. Harun Hj. Hasan sepanjang hayat beliau. Semoga perjuangan Allahyarham Tuan Hj. Harun dalam Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia dapat diteruskan dan diperkasakan oleh pemimpin yang prihatin dengan kebajikan ahli demi nasib persatuan pada masa akan datang. Diakhiri biodata Allahyarham Hj. Harun Hj. Hasan dengan serangkap pantun,

Kembang mekar bunga Melati,
Melilit-lilit di pohon jejawi;
Jasamu tuan terlakar di hati,
Terpahat di sanubari, dikenang abadi.

Disediakan oleh,
Pn Hjh Laila binti Ali,
Naib Pengerusi II,
PPPPPM DC Petaling.

No comments:

Post a Comment

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025 Assalamualaikum dan Salam Syawal, Di kesempatan yang mulia ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya A...