Prof. Dato' Dr. Ab. Rahim bin Selamat

 BIODATA ALLAHYARHAM PROF. DATO’ DR. AB. RAHIM BIN SELAMAT

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim adalah anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1946. Datuk atau Embah beliau berasal dari Kabupaten, Banjumas, Purwokurto, Jawa Barat, berhijrah ke Tanah Melayu dalam tahun 1860an (semasa pemerintahan Belanda) melalui Singapura hingga ke Melaka dengan menjadi buruh kasar mengambil upah menggali parit dan menebang hutan.

Sekolah Rendah pertama Sekolah Melayu Sungai Rambai, Melaka (1952-1953). Dalam tahun 1954, beliau berpindah ke Sekolah Melayu Parit Gantung untuk naik ke Darjah 3 dan 4 bagi memenuhi syarat memasuki Special Malay Class (SMC) di Government Primary English School (GPES) Jasin, Melaka. Beliau sambung belajar di GPES, Jasin, Melaka (1956-1958) dan meneruskan Pendidikan dalam aliran Inggeris di Gajah Berang Secondary English School (GBSES) bandar Melaka (1959-1963) dan 4 bulan di Form Six Arts di High School Melaka (1964). Awal tahun 1950an (1952-1955) di sebelah petang, selepas balik sekolah dan hujung minggu beliau menolong ibu (Allahyarhamah) menguruskan kedai runcit kecil-kecilan.

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim menjadi pelajar terbaik dalam Peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1961 dan namanya tercatat pada senarai pelajar terbaik dekat tangga ke pejabat Pengetua, Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka.

Tokoh menjadi pengarang kecil bermula sejak beliau di bangku sekolah lagi dengan menulis makalah awal tahun 1960an lagi. Semasa di tingkatan empat (1962) di Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka (GBSES) beliau memenangi pertandingan mengarang dengan ganjaran sebanyak RM lima puluh. Allahyarham lulus dengan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaya (Federation of Malaya Certificate, 1963).

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim mengikuti program Latihan Perguruan Pusat Latihan Daerah (PLD) / RTC (Regional Training Centre) ambilan pertama di Sekolah Tinggi St. David, Bandar Baru Melaka antara tahun 1965-1966 setiap hujung minggu dan setiap cuti sekolah dalam jurusan Bahasa Melayu dan Geografi. Pada hari Isnin hingga Khamis bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Tinggi Katholik, Melaka (Mei 1965 hingga Disember 1967) sekarang SMJK ( C ) Katholik. Pada Januari 1967 hingga Mei 1968 mendapat jawatan bertaraf guru terlatih berkontrak selama lima tahun hingga Januari 1972.

Falsafah Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim “Belum buat jangan mengalah” menjadi asas perjuangan beliau- seorang yang tidak mudah mengalah dengan senang dan suka bekerja. Itu adalah ciri-ciri peribadi beliau yang menjadi asset terbesar untuk menjadi guru sambil menyediakan diri untuk menduduki HSC dalam tahun 1967. Guru yang tertekan perlu mengatur langkah yang bijak untuk cuba mengatasi masalah yang dihadapi.

Allahyarham mengikuti kursus intensif setiap cuti sekolah di Kolej Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah (1965), kedua di Sekolah Dato’ abdul Razak (SDAR), Ipoh dan terakhir di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim mencipta rekod sebagai guru lulusan PLD/RTC Melaka yang pertama menjejakkan kaki ke Universiti Malaya pada bulan Mei 1968. Allahyarham menerima ijazah iaitu ‘scroll’ dari Canselor Kedua Unversiti Malaya 1970/1971 iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman Sultanah Kedah dan Permaisuri Yang DiPertuan Agong ke5 di Dewan Tunku Chancelor pada 29 September 1972. Ini adalah merupakan Majlis Konvokesyen kali pertama dilaksanakan dengan cara Tradisi Timur.

Allahyarham mula bertugas sebagai guru Geografi Tingkatan Enam Rendah Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Jalan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada 3 Mei 1971/1972 – sekolah aliran Melayu yang pertama mempunyai Tingkatan Enam di Negeri Sembilan bagi aliran Sastera sejak 1969 dan di kelas Pelajaran Lanjutan di SM King George V, Seremban, Negeri Sembilan. Semasa mengajar Geografi di Tingkatan Enam Rendah dan Atas di SM Tunku Ampuan Durah Seremban, beliau perlu mengarang untuk menghasilkan nota kuliah Geografi kerana buku teks Geografi dalam Bahasa Melayu belum ada.

Selepas menjadi guru tingkatan 3,4, 5 dan 6 bagi mata Pelajaran Geografi dan Guru Penolong Rumah serta pengalaman tiga tahun mengajar sebelum masuk Universiti Malaya, beliau telah dilantik menjadi Guru Penolong Kanan dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Pengetua Sekolah Datuk Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan.

Allahyarham pernah menghadiri Kursus dalam Perkhidmatan– Kursus Kaunseling (2 minggu) di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Perak pada tahun 1972 yang merupakan kursus dalam perkhidmatan yang pertama sebaik sahaja menjadi guru siswazah di Sekolah Menengah TunkuAmpuan Durah, Seremban.

Pada awal Disember 1972, Allahyarham dilantik sebagai Pengelola Perpustakaan Daerah sekolah-sekolah di Negeri Sembilan dan Melaka dan mulai 1 Januari 1973 berpindah tempat kerja di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di Seremban. Rakan pelajar Geografi di university menggelar beliau sebagai ‘bookworm’ atau “walking encyclopedia” untuk kursus geografi. Beliau menjadi penulis kerana dorongan selepas melihat betapa kurangnya buku perpustakaan sekolah di Negeri Sembilan dan Melaka. Allahyarham diminta oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan untuk mengajar Geografi Tingkatan 5 sekali seminggu di SMK Tunku Besar Burhanuddin Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1975).

Setelah lima tahun menjalankan tugas sebagai Pengelola Perpustakaan Sekolah di Negeri Sembilan dan Melaka, beliau mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke University of Maryland, Amerika Syarikat. Beliau merupakan pelajar Malaysia pertama belajar di College of Library and Information Science (CLIS) dan menerima Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan /Master of Library Science dari College of Library and information Science of Maryland pada tahun 1979. Sekembalinya Allahyarham ke Malaysia, selepas tamat pengajian, beliau ditukarkan ke Jabatan Pelajaran Johor sebagai Pengelola Kanan Perpustakaan Johor (1979-1982).

Mulai tahun 1982, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum di Jabatan Pendidikan Johor dan diberikan Latihan oleh Institut Aminuddin Baki dan dalam tahun 1983 di Pusat Pelajaran Lanjutan di Universiti Pertanian Malaysia / Universiti Putra Selangor.

Pada March 1985, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Jabatan Teknologi di IPPN (Institut Pengurusan Pendidikan Negara, Sri Layang, Genting Highlands. Kampus IPPN berasal dari Kampus Universiti Merdeka yang diusahakan oleh MCA. Semasa YAB Datuk Musa Hitam menjadi Menteri Pelajaran, beliau menukarkan kampus itu menjadi IPPN dalam tahun 1979. Dalam tahun 1992, IPPN telah ditukarkan kepada IAB sempena nama Ketua Penasihat Pelajaran (sekarang Ketua Pengarah Pendidikan) pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu Allahyarham Aminuddin Baki.

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim mengikuti program Doctor of Education (Ed.D) di California Coast University di Santa Barbara dalam bidang Curriculum Development dan lulus pada 11 Ogos 1990, iaitu kelulusan tertinggi dalam Profesion Keguruan. Allahyarham pernah menjadi Pengurus Kursus Kejurulatihan / Training of Trainers (TOT) di Institute of Education University of London, England (1988).

Dalam kenangan Allahyarham semasa menjadi Timbalan Pengarah IAB dalam tahun 1993, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu menjadi Perdana Menteri Malaysia telah datang berkunjung ke IAB. Selepas menjadi Timbalan Pengarah IAB, hamper dua tahun (1992/1994) Allahyarham dilantik menjadi Pengetua IPSI (Institut Pendidikan Guru Sultan Idris), Pengetua yang ke 29– mulai 17 November 1994-30 November 1996. Konvokesyen yang Istimewa bagi Allahyarham ialah konvokesyen tahun 1995 apablla IPSI diumumkan sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pada akhir tahun 1993, Allahyarham menguruskan program Latihan pertama untuk Guru Besar Sekolah Orang Asli dari Semenanjung di Kampus Baru IAB Utara di Jitra, Kedah.

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim adalah orang Malaysia yang pertama berada di Israel dan Palestine secara sah pada 14 Oktober 1994. YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia melantik Allahyarham sebagai Konsaltan Pendidikan UNESCO untuk Palestine (1994) – memberi nasihat kepakaran kepada Kementerian Pendidikan Palestine tentang membina sistem

 Pendidikan Palestine yang telah terabai selama lebih 30 tahun. Pengalaman 13 hari di Palestine telah dibukukan oleh Allahyarham dalam buku ‘Menjejak Kaki di Israel dan Palestine’ dan telah dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari 2020 di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1996, Allahyarham telah mendapat arahan untuk berpindah tugas sebagai Pengarah SEAMEO-RECSAM Pulau Pinang– Pengarah Organisasi Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) atau Pusat Serantau (ASEAN) Pendidikan Sains dan Matematik yang ditubuhkan pada 30 November 1965. Selepas 2 tahun 9 bulan di SEAMEO-RECSAM, Allahyarham telah diarahkan untuk berpindah balik ke IAB, Genting Highlands Pahang sebagai Pengarah kelima (Kerjaya berada di tempat kerja yang sama dua kali tetapi status jawatan yang berbeza). Pada 6 Ogos 2000 tamatlah perkhidmatan Allahyarham di IAB dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mulai 7 Ogos 2000, Naib Canselor Pertama UNISEL (universiti Industri Selangor) Allahyarham Dato’ Dr. Kamaruddin Kachar telah melantik Allahyarham sebagai Dekan Fakulti Pendidikan di UNISEL (2000-2010). Allahyarham telah diberikan amanah menjadi pengasas sebagai Dekan Sulung Fakulti, membawa program Pendidikan iaitu Diploma Pendidikan Sains Kesihatan ke UNISEL dengan 93 orang kohot pertama. Akhirnya, kesemua 300 bakal pensyarah atau jurulatih Kolej Kesihatan Bersekutu, Kementrian Kesihatan Malaysia merupakan peserta program khas telah dikendalikan oleh UNISEL secara sepenuh masa. Sehari selepas bersara sebagai Pengarah IAB, Allahyarham dianugerahkan Profesor (2007) kerana beliau telah berjaya membawa masuk sebilangan ramai pelajar melalui beberapa program ke UNISEL.

Di akhir perkhidmatan Allahyarham dalam Kementrian Pendidikan Malaysia dari 1965/1967 dan 1971/2000, semasa Allahyarham bersara, Allahyarham telah menerima Anugerah Tokoh Guru Melaka (2005) dan Tokoh Guru Kebangsaan (2011) di Kuching, Sarawak. Dua anugerah tersebut begitu bermakna kepada Allahyarham sebagai seorang pendidik professional dan telah mendorong Allahyarham memasuki Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) 2021/2024 dan menyandang sebagai Naib Presiden 1 (2022/2024).

Lanjutan dari kedua-dua anugerah tersebut, Allahyarham telah menulis 2 buah buku bertajuk “Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan/Tokoh Guru Kebangsaan 2012 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan/Tokoh Guru Kebangsaan 2013 (2015). 5PM juga meminta Allahyarham menulis sebuah buku bertajuk “Biografi Tokoh Guru Kebangsaan 2000/2010.”

Buku ilmiah terbitan sulung Allahyarham berjudul “Geografi Kawasan Malaysia untuk STPM” terbitan Pustaka Sistem, Taman Maluri, Kuala Lumpur 1975. Dalam tahun 1989, Allahyarham Bersama 2 orang rakannya telah berjaya menulis buku berjudul “Geografi KBSM Tingkatan 2” dan dipilh oleh Kementrian Pelajaran menjadi salah satu buku teks Geografi KBSM Tingkatan Dua (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka). Pada tahun 2000, Allahyarham Berjaya menerbitkan 3 buah buku berkaitan dengan Sekolah Bestari iaitu “Pengurusan Sekolah Bestari: Satu Pengenalan”, “Kemahiran Dalam Sekolah Bestari” dan “Kemahiran Belajar KBSR dan KBSM” terbitan Badan Cemerlang, Johor.

Selain mengarang, Allahyarham juga melibatkan diri dengan kerja-kerja social seperti yang dilakukan Bersama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebagai salah seorang Pengerusi anak Syarikatnya. Selepas bersara, Allahyarham sering dijemput sebagai Profesor Pelawat oleh university-universiti seperti UNITAR, UNIMAS, IUKL, OUM dan juga UPSI bagi membentangkan kertas, melaksanakan kursus atau menganjurkan seminar atas jemputan. Allahyarham juga dilantik sebagai Ahli Panel Bebas PPPM (2013-2025) telah menulis beberapa tajuk Anjakan dalam PPPM.

Sejak 2021, Allahyarham dilantik menjadi Yang DiPertua 5PM Cawangan Petaling, Selangor, Naib Presiden 1(5PM) 2022/2023. Sumbangan Allahyarham kepada kedua-dua jawatan ialah sebagai pengarang utama buku “Wawasan dan Warisan 5PM: Perjuangan Tiga Dekad (1993-2023)”. Berpeluang menyediakan skrip asal Buletin 5PMNSelangor yang diterbitkan dalam tahun 2023. Pada 14 Disember 2023, Allahyarham terlibat dalam Mesyuarat AJK Pusat 5PM untuk persediaan Mesyuarat Agung 2024/2026 pada bulan April di Selangor. Pada masa yang sama, Allahyarham telah bekerjasama dengan Yayasan Ekonomi Sejagat (YES) di Kuala Lumpur bagi mempromosi Konsep Halal Toyyiban (2010/2012). Allahyarham juga memberikan perkhidmatan Konsaltansi Latihan Kepada PERHEBAT Bahagian Latihan Kementrian Pertahanan Malaysia (2010) di Sungai Buloh, Selangor dengan menyediakan buku Hala Tuju PERHEBAT 2014-2020.

Once a teacher, always a teacher, Menjadi guru sehingga bersara, sekali menjadi seorang guru, sentiasa akan menjadi guru, begitulah ungkapan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim tentang “Profesional Tidak Bersara”- “The root of education is bitter, but the fruit is sweet” (Anonymous). Begitu banyak sumbangan dan jasa yang ditingalkan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ab. Rahim dalam profesion keguruan (dalam bidang penulisan khasnya) sehinggalah Allahyarham dijemput Illahi pada 31 Julai 2024. Allah SWT telah menganugerahkan Allahyarham dan isterinya Datin Hajjah  Habibah Mohd. Yusoff lima orang anak (tiga perempuan dan dua lelaki), lima orang menantu dan dua belas orang cucu.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa. Al-Fatihah.

Disediakan oleh:

Pn Hjh Laila binti Ali,
Naib Pengerusi II,
PPPPPM DC Petaling.

No comments:

Post a Comment

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025 Assalamualaikum dan Salam Syawal, Di kesempatan yang mulia ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya A...